April 20th, 2009. Published under Aktiviti. 101 Comments.
SHAH ALAM - Kolej Pendidikan Perdana (KOPEDA) telah menganjurkan program Riang Ria Manipulatif. Di antara tujuan utama program ini dianjurkan ialah bagi membentuk peribadi dan sahsiah positif di kalangan siswa-siswinya.

Program Manipulatif
KOPEDA merupakan satu daripada kolej swasta yang menyediakan kursus perguruan sejak ia ditubuhkan pada tahun 1994.
Seramai 39 orang siswa yang sedang mengikuti Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (DPAK) bagi sesi 2008-2011 menyertai program tersebut. Program dilangsungkan di padang Footsal, Jalan Sejat 8/10, Seksyen 8, Shah Alam dan dirasmikan sendiri oleh Pengerusi Eksekutif KOPEDA, Datuk Haji Azmi Junid.
Menurut penasihat Jawatankuasa Pelaksana Program, Tn. Hj. Abidin bin Basri, program seumpama ini amatlah bersesuaian dan menepati objektif latihan. Pada masa yang sama program ini dapat meningkatkan keyakinan diri siswa-siswa, terutamanya dalam usaha merancang dan mengelolakan sesuatu program semasa mereka bertugas di sekolah.
Diantara objektifnya pula adalah memberi pendedahan kepada guru dan bakal guru mengetahui tentang konsep, teori dan prinsip kemahiran fizikal dan manipulatif serta kemahiran motor. Menurut beliau lagi, ia juga memberikan pendedahan mengenai kemahiran merancang, menjalankan pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti dan kemahiran berkesan Awal Kanak-Kanak.
Sebanyak 10 acara sukaneka yang dicipta sendiri oleh siswa-siswa dilangsungkan pada hari tersebut.
Turut hadir menyaksikan program tersebut ialah Tn. Hj. Mohamad b Hj. Ikhsan, Pengurus Program KOPEDA dan beberapa warga pendidik KOPEDA yang lain.
Apa yang diharapkan oleh siswa-siswa KOPEDA ialah Program Riang Ria Manipulatif ini akan dapat dijadikan panduan semasa mereka berada di prasekolah dan Pusat Tadika tempat bertugas di samping mewujudkan ikatan silaturrahim.