Kolej Pendidikan Perdana

Kolej Swasta Pendidikan Pertama di Malaysia

Sejarah

KOLEJ PENDIDIKAN PERDANA (KOPEDA) telah ditubuhkan pada awal 1994 setelah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan [Rujukan : KP(BPSG)5194/488(3)]. KOPEDA merupakan sebuah institusi pendidikan swasta perintis yang telah berjaya mendapat kelulusan daripada Kementerian untuk mengendali program-program latihan guru, iaitu Kursus Perguruan Prasekolah, Kursus Perguruan Asas, Kursus Perguruan Lepas Ijazah, Kursus Berkembar Bacelor Pendidikan, dan yang terbaru (sejak 2005) Kursus Diploma Pendidikan awal Kanak-Kanak.

Kejayaannya memperolehi kelulusan yang julung-julung kali diberikan oleh Kementerian Pendidikan itu adalah hasil keyakinan Kementerian bahawa pihaknya adalah berkebolehan dan berkepakaran untuk mengendalikan program-program tersebut berasaskan kepada latarbelakang stafnya yang terdiri daripada bekas pegawai-pegawai Bahagian Pendidikan Guru Kementerian dan pensyarah-pensyarah maktab-maktab perguruannya, dengan diketuai oleh menteri Pengarah Pendidikan Guru Kementerian.

Sejak penubuhannya, KOPEDA telah berjaya mengendalikan semua program yang telah diluluskan itu. Di bawah pimpinan suatu pasukan staf yang berwibawa, dan diperkukuhkan pula dengan komitmen yang tinggi oleh para pelajarnya yang mana ramai mempunyai latar belakang pengalaman perguruan yang amat berguna, maka

KOPEDA setakat ini (2008) telah berjaya menghasilkan lebih daripada 2,000 guru terlatih di berbagai peringkat, dengan pencapaian 100% lulus bagi setiap kohort pelajar yang mendaftar. Para pelajar yang berjaya ini adalah terdiri daripada pelajar-pelajar individu serta mereka yang ditaja oleh Agensi-agensi Kerajaan, Yayasan-yayasan Pendidikan dan Badan-badan Amal.

Sebagai satu langkah untuk meluaskan lagi asas operasinya, maka KOPEDA kebelakangan ini telah mempelbagaikan program-program yang dikendalikannya dengan berkembang ke bidang-bidang Bahasa Inggeris, peringkat sijil dan diploma. Bagaimanapun, memandangkan bahawa KOPEDA telah banyak mengumpul pengalaman dan kepakaran dalam program-program asalnya maka teras operasinya akan terus berlandaskan kepada program-program perguruannya manakala program-program lain yang relevan kepada keperluan guru-guru, atau pun yang dapat mengisikan cabaran-cabaran semasa, dijadikan sebagai program-program sampingan.