SEJARAH RINGKAS KOLEJ PENDIDIKAN PERDANA (KOPEDA)

MILIK SYARIKAT DHAJ HOLDING SDN BHD

PENUBUHAN

KOPEDA ditubuh pada Jun 1994 setelah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan, dan dengan kelulusan ini ia berupa Kolej Perguruan Swasta perintis (pioneer) di Malaysia. Rasional penubuhan adalah untuk membekalkan latihan profesional dan komprehensif yang disasarkan kepada guru-guru tadika dan sekolah milik Kerajaan Negeri, Badan Berkanun dan Sektor Swasta - tatkala itu Maktab-Maktab Perguruan yang wujud adalah milik Kementerian Pendidikan khusus untuk keperluan guru-guru Kementerian sendiri.
Di samping itu KOPEDA juga bersedia membantu Kementerian dalam proses pensiswazahan guru-gurunya. Satu elemen penting dalam kelulusan ini adalah bahawa pihak penaja berjaya meyakinkan Kementerian pihaknya mampu dan bersedia untuk memberi top priority kepada aspek profesionalisma guru sama ada dari sudut staf, kurikulum, penilaian atau prasarana asas.

PREMIS, STAF & PROGRAM

Tidak terasing daripada tradisi pengasasan beberapa institusi pendidikan swasta dan badan berkanun pada era sebelum kewujudan 'IPTS-IPTS Gergasi 6 Bintang' KOPEDA mula beroperasi di sebuah bangunan kedai berderet di Jalan SS15/8A, Subang Jaya, sebelum berpindah ke premisnya sekarang di Seksyen 8, Shah Alam, 1 1/2 tahun kemudian pada akhir 1995.
Adalah prinsip utamanya bahawa semua staf profesional, daripada CEO, Pengetua, Pengurus Program hinggalah ke Pensyarah di bilik kuliah terdiri daripada staf yang berkelayakan dan berpengalaman dalam bidang pendidikan guru - ramai mereka ini terdiri daripada pesara-pesara yang berjawatan kanan sama ada daripada Bahagian Pendidikan Guru atau Maktab Perguruan, Kementerian Pendidikan, manakala di kalangan staf sambilan pula terdapat pesara-pesara daripada Fakulti Pendidikan, Universiti Awam.
Fokus programnya pula adalah kursus-kursus perguruan untuk tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah.

PROGRAM SULONG

Jun 1994
Program Pertama Dilancarkan
Kursus Perguruan Prasekolah khusus untuk guru-guru prasekolah dalam perkhidmatan 'Sarawak Economic Development Corporation (SEDC)' di bawah anak syarikatnya SEDIDIK. Kursus ini adalah dalam bentuk Kursus Dalam Cuti (KDC) dan dikendalikan di Pusat Luar KOPEDA di Kuching.
1994-2005
Pengembangan Program
Program berkembang ke Sibu dan Miri dan turut disertai oleh guru-guru prasekolah swasta daripada seluruh Sarawak. Pengambilan pertama guru-guru SEDIDIK ini bermula pada 1994 dan berterusan sehingga 2005.
2004-2007
Pengembangan ke Semenanjung
Program ini juga dikembangkan ke Pusat Luar KOPEDA di Kota Bharu, Kelantan, (2004-2006) dan Kota Kinabalu, Sabah, (2005-2007).
2007-2012
Program Diploma Baru
Kelulusan baru daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membenarkan KOPEDA mengendali program barunya Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (DPAK) mulai 2007, tetapi pengambilan dibenarkan hanya untuk 2 tahun sehingga 2009.

PROGRAM KOLABORASI

Susulan satu perbincangan khas yang telah diadakan dengan YB Menteri Pendidikan maka pada Januari 1995 pihak Kementerian telah meluluskan 2 program kolaborasi/kerjasama di mana KOPEDA dibenar mengendali Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) dan Kursus Perguruan Asas (KPA), kedua-dua milik Kementerian (Bahagian Pendidikan Guru/BPG), di Pusat Induknya di Subang Jaya (kemudian di Shah Alam) dan di Pusat-Pusat Luarnya di Kota Kinabalu dan Kuching.
Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) dilancarkan di premisnya di Subang Jaya secara sepenuh masa dengan 4 pelajar. Kursus KPLI secara kolaborasi ini berlanjutan sehingga 2003 dan jumlah yang berjaya tamat kursus di 3 pusat tersebut adalah 749 kesemuanya.
Kursus Perguruan Asas (KPA) pula yang juga dikendali dalam bentuk KDC, di Pusat Luar di Kota Bharu khusus untuk guru-guru Yayasan Islam Kelantan, Jabatan Agama Islam Terengganu dan MARA.